Sabtu, 28 Mac 2009

bicara si bisu

semalam, sedang aku merehatkan diri di kedai mamak seorang diri, sambil mendendangkan telinga dengan bunyian2 hujan, beserta angin-angin dingin bertiup, aku tertarik terhadap sekumpulan orang di hadapan aku. mereka sungguh asyik bersembang, tetapi bukannya berkata-kata, hanya 'berbahasa tangan dan mata'. 

kebanyakan dari mereka berkemungkinan pekak ataupun bisu. kerana mereka asyik berisyarat sesama mereka. aku teringin juga cuba memahami apa yang mereka bualkan, tapi, sememangnya itu bukannya sesuatu yang mudah untuk aku fahami.

apa yang tertarik pada aku, ialah cara mereka untuk berkomunikasi. mereka perlu menumpukan 'sepenuh perhatian' pada seseorang apabila 'berkata-kata', dan pandangan mereka seharusnya terus ke mata. sememangnya itulah cara untuk berbicara bersama rakan-rakan, di mana tiap perhatian kita tumpukan pada mereka, dan ini sememangnya akan mengeratkan lagi perhubungan sesama sendiri,...

~ tak tahu apa yang ingin aku bualkan, cuma sekadar catatan aku pada cereka dunia keliling aku ini,... maaf,.

~ anakmanjoi =P

Rabu, 18 Mac 2009

Bara ku~

Tika mana aku berjalan separuh dari dunia ini,
Pastinya akan ada satu pintu terkunci di depanku,
Mencari di mana kuncinya,
Sambil memikir apa di sebalik pandangan pintu itu,
Cuba bertafsir bersama mereka di sekeliling,
Tapi lidahku kaku untuk memapar kata-kata,
Sambil mata mencari di mana jalannya yang lain,

Sememangnya kadang kala tulangku tidak mampu
memikul segalanya,
Perlu juga aku meringankannya bersama pandangan
yang hampir sama,
Perlu juga aku mendayungkan diriku dan semangatku 
ke jalan yang betul,

Garam di mulutku memang tidak terasa masinnya lagi,
Tapi aku tetap ingin cuba menyalakan api bara
di genggaman tanganku ini,
Kerana aku ingin merasakan air mata bersama 
kesakitan bara itu,
Yang mana memerlukan percikan dari tangan-tangan
sebadanku ini,

Yang mana hanya mencurahkan air dari dahulu lagi,….  

*****

cita-cita untuk dikejar, bukannya dimatikan, bukannya sebagai kata-kata mainan tika kecilku, dan bukannya sebagai penutup hidup,.....

~ anakmanjoi

Sabtu, 7 Mac 2009

cahaya yang tidak putus~

Satu perkara yang amat aku takuti selama ini, selama hidup aku, iaitu tercalarnya ruang sahabat sesama rakan-rakanku. Tika hari kita berlalu bersama-sama masa yang kita luang bersama rakan-rakan, takut sekali dicalar oleh kenyataan tidak munasabah yang boleh menyebabkan terputusnya talian persahabatan itu.

Di dalam hidup aku ini, aku berpegang teguh akan ayat daripada sebuah novel grafik karya kartunis aie. Beliau merupakan idola aku di dalam pembinaan segala karyaku, di dalam segala gerak cara aturan hidupku. “ Aku dan sesuatu”, sebuah novel grafik yang bercerita mengenai kehidupan, bercorakkan kehidupan masa kini dan seringkali menjernihkan minda-minda bagi mereka yang membacanya.  

~~~~~~~

‘Engko rasa kita gaduh tak satu hari nanti?’
‘Kepercayaan Bert,… aku percayakan engko. Engko percayakan aku.’
‘macamana kita nak tahu?’
‘ Jaga hak kita, jaga maruah dia.’

‘Boleh control ke?’
‘Buat apa nak tipu diri sendiri? Betul tak?’
‘Kalau yang hipokrit?’
‘Tu jenis tak hormat diri sendiri.’

‘Aku hormat engko pasal engko hormat aku.’
‘Ye ke?’

‘Kita terasa bila dihormati.’
‘Sampai bila?’
‘Selagi kita terus menghormati….’



~ Aku sentiasa mempercayai akan sahabat-sahabatku. Berharap agar mereka pun sebegitu. Semoga pertalian sahabat kita akan berkekalan sehingga hujung hayat kita.



~ ‘Cahaya itu semakin menerangi kehidupan’ ~ anakmanjoi =)

dua dunia, tiada bezanya, indahnya di penghujung jua,..

Detik 12 Mac 2009, tersaksilah dunia akan dua dunia berbeza. Dunia suka dan duka. Tikamana detik itu, terjawablah segala persoalan dan segala penat lelah yang telah dikerah yang digantung tulang empat kerat itu selama ini.

12 Mac 2009, Keputusan SPM dan STAM bagi tahun 2008. Itulah detik setiap tahun yang sentiasa dipamer di kaca-kaca televisyen.

Terkenang aku di zaman aku dahulu, hanya beberapa ungkapan dariku buat adik-adikku yang berdebar-debar menanti keputusan anda.

Bagi mereka yang tercapai segala hajat mereka di dalam keputusan itu nanti, ucapan tahniah menjadi ucapan pembuka dariku buat anda. Bersyukurlah dan itulah dia jawapan bagi segala penat lelahmu, tika mana kamu menangis di hari dahulu, kini dibalas oleh-Nya akan tangisan kegembiraan buatmu, dan tika itu, sedarilah kamu bahawa tapak perjalananmu itu akan bermula selangkah lagi ke alam dunia luar, yang menanti mu, di mana dirimu berbekal ilmu di dada, menunjuk arah jalananmu di kemudian hari.

Bagi mereka yang tidak mencapai keputusan sepertimana yang diharapkan, jangan dilupa, hidupmu bukan hanya berhenti di sini. Bukanlah penghujungmu di sini. Tika ini, carilah dirimu yang ‘sebenar-benarnya’. Cerminlah akan kelebihanmu, keistimewaanmu yang diberi-Nya kepadamu. Kerna kejayaan diri bukanlah hanya dilihat di dalam satu keadaan sahaja.

~ Selamat berjaya buat adik-adikku, aku sentiasa mendoakan kejayaan hidupmu.

~ tertarik aku akan ucapan akhir ahli kumpulan Sepah ( pemenang Raja Lawak musim-3 ). – “ Mak, Abah, orang(saya) tak dapat nak bagi mak ngan abah segulung ijazah, tapi orang dapat jadi johan hari ni”…….. ayat yang sememangnya mengalirkan air matanya dan membuatku sebak seketika. Itulah lumrahnya kehidupan.



~ ‘Aku tidak bermula dari keselesaan’ ~Anakmanjoi =)