Selasa, 5 Mei 2015

Rumahtangga

"kamu bila mahu mendirikan rumahtangga? jika mahu, saya boleh tolong carikan.."
"tak mengapa, InsyaAllah, jika sampai jodoh saya, akan saya maklumkan. Pilihan hati sudah lama ada, hanya masa dan kewangan sahaja tidak mengizinkan..."


"Kawan kita ni dah ramai dah kahwin, kamu bila lagi? Jika tiada calon, boleh kami tolong carikan..."
"Oh, InsyaAllah, buat ketika ini (itu), pilihan hatinya sudah ada, sedang berusaha sahaja, iya lah, kerja tetap tidak ada, kewangan bercelaru, risau pula menjadi bebanan selepas perkahwinan, .."


"Kami ada kenal beberapa calon, mahu kenal?"
"maaf lah, saya sedang berusaha memperbaiki diri, tentang calon pilihan hati, InsyaAllah, jika diizinkan Tuhan, sudah ada dan sedang mencuba.."

...........................


berpuluh soalan pernah ditanya, dicadangkan beberapa nama, namun disebabkan pernah ada pilihan hati, sering saya menolak. memang benar ketika itu pilihan hati sudah ada, ada yang memahami, yang saya ini sukar untuk meluahkan perasaan diri. mungkin untuk menghormati kembali si penanya, hanya khabarkan pilihan hati itu sudah ada. walaupun kini semakin samar pilihan itu dilihat, InsyaAllah, semoga ini jalan kembali untuk membina semangat, mencari cinta Ilahi.
Semoga Allah redhai.

Anakmanjoi. :)
(atau mungkin sahaja saya ini yang ego, harus terus merubah diri, doakan! :) )


Ahad, 26 April 2015

Hei kamu si pemerkosa dunia!

Hei kamu! Si pemerkosa dunia!
Tuhan itu tidak ada tika engkau menyangka-nyangka diri sebagai ahli syurga dunia, sedang kadang Tuhan itu kau perlu cari di jalanan, yang membawa beribu mimpi dan cerita.

Atau engkau sudah tidak lagi menjadi ahli syurga, tetapi dengan kesedaran meninggikan dirimu menjadi Tuhan?

07 Rejab 1436H

Sabtu, 25 April 2015

catatan tidak bertanda

Matahari terbit perlahan di balik gunung itu, gunung yang kulihat bersambung-sambung, membentukkannya bagai tulang belakang manusia. Awan kabus yang terbentuk di bawahnya, membuatkan gunung itu bagaikan terapung di atas awangan, bersama angin sejuk yang melanggar halus ke muka.. tika itu juga, perlahan-lahan cahaya matahari menyinar, membuatkan suasana sekeliling suam, bernafas perlahan, dapat merasakan udara nyaman, segar! sungguh segar! bagaikan tumbuhan berlumba-lumba mengeluarkan oksigennya, demi menyambut kedatangan mentari yang kembali menyinar itu.

Ali, mungkin tubuhnya sedikit gempal, tapi, entah kenapa, dia menggagahkan dirinya untuk mendaki bukit di kawasan rumahnya itu, hanya untuk mencari perspektif baru bagi diri sendiri, katanya. 

Jumaat, 31 Januari 2014

Emas diriku.

Maaf aku tak bisa menulis,
seindah bahasa sang pencinta,
yang mekar pada penanya wangian,
yang indah menjadi hiduan seisi alam.

Aku seorang pejalan,
yang berjalan merentasi dunia,
berbekalkan bagasi kosong,
yang hanya indah pada kulitnya.

Indah mungkin,
hanya dilihat oleh sang pemerkosa dunia,
yang tidak pernah puas akan apa yang ada
dalam genggamannnya,
sehinggakan aku yang berdiri
dengan saki baki nafas ini juga,
bakal diragut dengan buasnya,
membiarkan aku hanya mampu berserah,
untuk kembali pada yang esa.

Sampai satu masa,
mungkin aku ini hanya tahu mengeluh,
sehingga terlupa,
bagasi inilah sebenarnya emas bagi diriku,

yang pernah bersamaku kecewa di alam cinta,
yang pernah bersamaku kecewa di alam fana,
yang pernah bersamaku gembira di alam sementara,

bagasi inilah emas bagiku.
yang aku buta melihat indahnya emas di genggaman orang,
sehingga aku lupa, emas ku inilah yang digilai oleh mereka-mereka,
sang pemerkosa dunia...

~ anakmanjoi, 1 R'Akhir 1435H

Jumaat, 24 Januari 2014

Pada-Mu ya Allah.



tatkala keras hatiku dan sesak perjalanan hidupku, ku jadikan rayuan daripada ku sebagai jalan mengharap keampunanMu..