Ahad, 31 Oktober 2010

Sahsiah anak-anak yang dididik Islam

Abdullah bin Ja'far r.a. pernah menghadapi hidangan dengan kaumnya. Tiba-tiba ada seorang budak hamba kelihatan memberi anjing makan seketul daging. Kemudian dia terus memberi lagi sehingga anjing itu kenyang.

Abdullah memanggil budak itu seraya bertanya: "Berapa ketul daging kamu makan setiap hari?"
Budak itu menjawab, " Itulah yang telah aku berikan pada anjing." Dia bertanya: "Kenapa engkau mengutamakan anjing lebih daripada dirimu sendiri?" Budak itu menjawab: " Aku dah selalu makan tapi anjing ini kelihatan lapar dan datang dari tempat jauh. Aku kasihan padanya."

Abdullah kagum dengan jawapan itu lalu berkata dalam hatinya, "Budak ini lebih pemurah daripadaku." Dia kemudiannya membeli hamba itu dan membebaskannya kerana Allah.

Lihatlah bagaimana seorang budak yang menjadi hamba mempu memberi pengajaran kepada seorang yang bertaraf ketua masyarakat.

...............................
" Dan hamba-hamba yang beriman itu berdoa Wahai Tuhan kami, kurniakanlah untuk kami isteri-isteri kami dan anak-anak kami yang jadi penyejuk mata kami dan jadikanlah kami petuan orang-orang muttaqin." (Surah al-Furqan: 74)

~ sebuah perkongsian daripada buku "Anakku hebat, Anakku Soleh", karangan Ustaz Zahazan Mohamed. (keluaran telaga biru)

~ Lembutkan hati ku ini Ya Allah. Insya-Allah. ~ Anakmanjoi.

Ahad, 24 Oktober 2010

doaku buatmu.


Doa Rasulullah SAW untuk Ibnu Abbas. "Ya Allah, berilah kepadanya kefahaman ilmu agama dan ajarkanlah kepadanya ilmu takwil." Riwayat Ibnu Abbas.

Doa ini dibacakan oleh Rasulullah SAW kepada Ibn Abbas sejak beliau masih bayi sambil baginda mengusap kepalanya. Berkat doa yang dibaca oleh Rasulullah SAW inilah Ibn Abbas kemudian menjadi seorang yang amat pintar dan paling hebat dalam mentafsir ayat-ayat al-Quran selepas kewafatan Rasulullah SAW.

................................................

Sabtu lalu, saya telah pergi ke sebuah program bersama-sama anak-anak yatim dan warga miskin, yang dianjurkan oleh C.I.S. Department, Universiti Teknologi Petronas, Tronoh, Perak. Saya beserta dua orang lagi sahabat diwakilkan oleh syarikat untuk memberi kata-kata/perkongsian ilmu mengenai dunia animasi dan sumbangan. Alhamduliillah, segalanya berjalan dengan lancar. harapnya warga kerja organisasi penganjur majlis tersebut berpuas hati dengan segala yang kami lakukan.

Mata saya di sana ligat memerhatikan segala tingkah-laku anak-anak ini, ada yang bermain, bertanya soalan itu dan ini(anak-anak yang kecil, suka untuk bertanya segala-galanya, mereka sedang belajar untuk memahami kehidupan. Alhamdulillah, segala pertanyaan mereka dijawab dengan berhati-hati oleh pihak organisasi, dan di samping jawapan mereka itu, mereka menyelitkan pengetahuan mengenai agama), dan ada yang tekun mendengar. Segala doa daripada saya buat mereka, semoga menjadi insan yang berguna di masa mendatang, Insya-Allah.

(gambar ini bukan saya, dia merupakan salah seorang daripada ahli organisasi yang menganjurkan majlis ini)

~ anakmanjoi - teruja dengan suasana di dalam Universiti tersebut, terasa selesa dan nyaman sekali. =)

Selasa, 19 Oktober 2010

hebat sangatkah cinta?

Hebat sangatkah cinta,

atau cuma hawa nafsu semata,
jika tiada calon, ramai yang bertanya ,
mengapa tidak dicari katanya,

hebat sangatkah cinta,
jika cuma sesama manusia,
apatah lagi berlainan jantina,
hingga agama diletak belakangnya,

hebat sangatkah cinta,
jika statusku single mereka hairan bertanya,
sedangkan solat lima waktu tidak diberatnya,
jika ramai tak buat dipandang biasa,

hebat sangatkah cinta,
menghayati rasa yang terkandung didada,
terlahirnya sajak ,puitis nya cinta,
lautan api sanggup diredahnya,

hebat sangatkah cinta,
hingga semua nak diserahkannya,
katanya memujuk kononnya aku yang teristimewa,
sedangkan ayat sampah tu dah beribu kali dijaja,

hebat sangatkah cinta,
kononnya dihati tulus setia,
membukti cinta tanpa diduga,
akhirnya tubuh menjadi mangsa

hebat sangatkan cinta,
" saya suka awak kerana agama"
kalau begitu mengapa mendekati zina,
jika benar agama ukurannya,

hebat sangatkah cinta,
mampu membuat diri tersenyum manja,
khayalnya meneguk madu cinta,
sedangkan yang diteguk racun berbisa,

hebat sangat kah cinta,
sehingga mata yang celik dikata buta,
dosa pun dia kata"tak pa",
janji kau aku yang punya

hebat sangatkah cinta ,
jawapannya ya,
jika mencari cinta yang Esa,
bahagianya kekal untuk selamanya .. ♥

~ perkongsian daripada sahabat saya di facebook. terima kasih di atas peringatan ini.  =)

~ anakmanjoi ~ Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah suka bertemu dengannya.” Sebahagian salaf berkata: “Tidak ada suatu perkara yang lebih disukai Allah pada seseorang hamba selepas hamba tersebut suka untuk bertemu dengan-Nya daripada banyak sujud kepada-Nya, maka dia mendahulukan kesukaannya bertemu Allah dengan memperbanyakkan sujud kepada-Nya.”

Selasa, 5 Oktober 2010

biarkan aku bercerita mengenai puncak.

Sudah dihabiskan segelas air limau ais yang dipesan setengah jam tadi, mata dirasakan amat berat, badan ingin sekali lena di atas tilam empuk, akibat sudah beberapa hari tidak mendapat tidur yang mencukupi,  menguap? ah, sudah beberapa kali,...

"Bila kamu sudah di puncak, orang di sekeliling kamu tidak akan kisah akan susahnya, atau bagaimana peritnya ketika kamu di dalam keadaan mencuba untuk ke puncak, tetapi mereka di sekeliling kamu hanya kisahkan bagaimana cara kamu ketika turun, samada meluncur ke bawah ataupun 'jatuh'," tersentak juga mendengar pandangan daripada sahabat itu.

fikiran cuba untuk lebih memahami, otak sudah mula memproses data-data.

"Aluluululuuu,...lulululuuu,...," jerit mat rempit di jalanan, sambil memacak motornya, dengan kebingitan bunyi ekzosnya,  berlalu di tepi kami berempat yang sedang leka bersembang , "ah, potong,....."

~  kata orang tua, gayung tua gayung memutus. ya, ada benarnya di situ.
~ anakmanjoi ~ catatan meniti malam gelita...

Rabu, 29 September 2010

batu.

Sudah menjadi resmi manusia
Ingin hidup seribu tahun lagi
Seperti batu-batu
Setulus putih hati
Melihat kurniaan Tuhan

Lihat batu-batu diiringan jalan
Telanjang disinari dan dibasahi hujan
Terbiar detik pagi
Tangisan mengiringi
Melihat anak kecil hadiri
Sampai akhir nanti

Batu sayang kau tak boleh berkata
Semuanya kau lihat
Walau kau tak bermata
Terhiburlah dunia engkau dicipta
Hingga akhir dunia
Engkau kekal jua....

lirik asal: sweet charity - batu,
sila ke youtube untuk memperdengarkan lagu ini. terima kasih. =)

~anakmanjoi 2010 - Salam Syawal buat semua umat Islam di seluruh pelosok dunia ini. Semoga Allah menerima amalan kami dan kalian, Insya-Allah. *sedang mengerjakan puasa sunat syawal, Alhamdulillah, tinggal lagi 2 hari lagi, Insya-Allah,... =)*

~ berdiri bersama bayang-bayang di belakang yang sentiasa mengekori tanpa henti.~

Selasa, 31 Ogos 2010

Masa itu sentiasa berlalu.

Bismillahirrahmanirrahim
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah SAW,keluarga & para sahabatnya,

Tertarik untuk saya berbicara, (masih lagi di dalam mode hospital ^__^) betapa bertuahnya kita ini, kerana dapat mengharungi sebuah bulan yang penuh mulia ini, dengan memeperbanyakkan amal ibadah, Insya-Allah, akan diterima segalanya.

Betapa bertuahnya kita kerana sentiasa diberi masa oleh-Nya.

Tikamana saya masih berada di bawah jagaan hospital tempoh hari, saya sendiri tertarik dengan perbualan antara pesakit dan jururawat yang bertugas ketika itu. Saya melihat kedinding, jam sendiri sudah hampir menunjukkan pada angka 10, sebuah malam yang dingin, diikuti angin yang segar datangnya berlalu melalui pintu-pintu di wad menyapa kami dan kemudian berlalu pergi.

Jika di luar, sudah sayup kedengaran masjid bersebelahan menghabiskan solat witir mereka.

"Sepanjang bulan ini, kak(jururawat) tidak bertarawikh ke?"

"Tidak dik, kak sendiri pun sudah lama tidak tarawikh, sibuk dengan tugas"

Betapa selesanya kita ini, diberi masa dan peluang, untuk sentiasa sempat beribadah di bulan ini. Saya melihat, jururawat-jururawat tersebut pasti sentiasa sibuk, kerana terpaksa menjaga pesakit-pesakitnya, 24 jam, tanpa henti, bertukar-tukar masa bekerja, masih perlu menjaga pesakitnya walaupun diri sendiri kadang-kadang dilihat terlelah dengan tugasan yang dibawa sendiri dan tugasan orang lain. Oh, semoga Allah merahmati mereka, kerana mereka terpaksa bernyawa demi nyawa manusia yang lainnya.

Ketika kita sedang tidur, mereka sendiri masih sibuk dihujani pelbagai tugas, dimana setiap detik dan saat, pasti mengawasi pesakit-pesakit agar sentiasa diberi rawatan yang rapi. (air yang dimasukkan ke dalam badan saya, jika melihat pada yang ditulis, akan ditukar pada jam 3 pagi, setelah saya tersedar di pagi harinya, bekas air tersebut telah bertukar dan akan dihentikan pada jam 9 pagi pula, doktor pula, tepat jam 5 pagi pula, akan pergi kepada setiap pesakit untuk di ambil darah, bagi tujuan pemeriksaan)

Betapa bersyukurnya kita, kerana diberi masa yang banyak(lapang) untuk beribadah kepada-Nya. Namun, persoalan yang sering timbul, adakah kita mempergunakan masa tersebut untuk-Nya?

Semoga kita sentiasa dilimpahi dan di bawah kurniaan-Nya. Insya-Allah. ^___^
Mari perbanyakkan amalan demi 10 malam terakhir di bulan penuh kemuliaan ini.

sumber: 

~ Anakmanjoi - Sebuah perjalanan tidak akan pernah indah jika tanpa sebuah panjatan kesyukuran kepada Ilahi, tikamana hari-hari kita tempuhi dengan kasih dan sayang yang tidak terhingga yang diberi oleh-Nya. Catatan sebuah malam berkat.

Jumaat, 27 Ogos 2010

saya.wad.dan.denggi

Bismillahirrahmanirrahim
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah SAW,keluarga & para sahabatnya,

Assalamu'alaikum .
Di dalam masa seminggu ini, terlampau banyak pengalaman yang telah saya lihat dan perolehi, Alhamdulillah.
sebuah pengalaman yang berharga yang mungkin sukar untuk saya temui, apabila saya dimasukkan ke dalam wad, di Hospital Permaisuri Bainun Ipoh,(ataupun lebih dikenali sebagai Hospital Besar Ipoh) kerana menghidapi demam denggi.

Masuk sahaja saya ke dalam Hospital tersebut, terkejut saya apabila mendapati Ketua Kampung Sungai Tapah Tambahan(ya, ini lah kampung saya di kawasan Manjoi ini) juga memasuki wad ini atas penyakit ini juga, demam denggi. Alhamdulillah, di sini saya banyak mempelajari mengenai kampung saya sendiri, dan lebih rapat dengan Ketua Kampung saya sendiri.

Sesuatu yang paling seronok untuk dipelajari daripada masuknya ke dalam sesebuah Hospital adalah, dapat mempraktikkan apa yang sering saya pelajari ketika di sekolah, pembacaan  dan dengari di dalam ceramah-ceramah agama, iaitu solat ketika sakit. Saya terpaksa menggunakan kerusi sebagai peralatan tambahan di dalam solat akibat pada tangan kiri saya dimasukkan air, membuatkan saya tidak boleh untuk sujud terus ke atas tanah. Maha Suci Allah, kerana atas limpah rahmat dan kurnia-Nya, saya masih berkesempatan untuk terus dan terus beribadat kepadanya tanpa henti. Dan di situ juga, saya telah mencipta sebuah tempat khas di dalam wad tersebut, iaitu ruang yang sederhana untuk sesiapa bersolat di dalam wad tersebut. =)



 ....................................

setelah dua hari tinggal di dalam wad tersebut, saya sendiri telah menjadi rapat dengan kebanyakan mereka-mereka yang merupakan mangsa denggi juga. terutamanya bersebelahan dengan katil saya, iaitu Uncle Subramaniam (jika tidak salah saya, maaf, saya mempunyai ingatan yang pendek di sini), dan seorang lagi yang sememangnya saya terlupa untuk melihat namanya lagi... di barisan katil saya juga.. Abang Isa, dan lain-lain. =)

Boleh dikatakan, seluruh wad jugalah telah menjadi rakan saya, (akibat bosan dan sebuah buku juga telah habis dibaca di sana, berborak dan menimba pengalaman daripada orang lain adalah pilihan terakhir apabila tinggal di sana). Bilamana dapat sahaja surat pengesahan untuk pulang ke rumah, aduh, terasa benar sebaknya hati ini untuk meninggalkan mereka semua. Apa pun jua, doa daripada saya tetap tertinggal untuk mereka semua. terutamanya buat seorang anak kecil, Syazwanie yang akan menghadapi UPSR pada tahun ini, seorang budak lelaki Melayu yang akan menghadapi PMR pada tahun ini juga, dan seorang remaja India yang akan menghadapi peperiksaan di kolejnya pada minggu hadapan, kolej TAJ (jika tidak tersilap), semoga anda semua berjaya. doa daripada saya buat kamu semua. ^___^

tidak terlupa pula buat semua jururawat-jururawat dan doktor-doktor yang telah menjaga saya, terima kasih atas jagaan anda semua, semoga Allah memberkati hidup anda semua. =)


 ............................

Selepas pulang sahaja ke rumah, pada hari ini (Jumaat27 Ogos 2010), saya mendapat pula sebuah panggilan daripada bos saya, Mr. Fawaz Gheibeh, saya tertarik untuk bercerita mengenai beliau, kerana di dalam panggilannya itu, beliau tidak henti-henti mengucapkan kata-kata rahmat dan berdoa ke atas saya, dan mengingatkan mengenai nuzul Al-Quran pada hari ini, supaya memperbanyakkan bacaan Al-Quran,(kerana saya mendapat cuti yang agak lama), Insya-Allah. terima kasih atas peringatan dan doa-doa daripadanya. (terkejut dengan perbezaan budaya masyarakat kita dan luar, mendoakan seseorang yang lain- secara tidak henti-henti dan memperingatkan kita lebih kepada Allah, semoga Allah memberkati beliau. oh ya, bos saya adalah seorang daripada Dubai (jika tidak tersilap))

terima kasih juga buat rakan-rakan sekerja yang mengambil berat buat saya, rakan-rakan dan mereka-mereka yang mengenali saya. Sesungguhnya, semua ini adalah perjalanan sebuah kehidupan yang mengajar kita untuk lebih bersedia berdepan di masa hadapan dan mengenali apa itu dunia. Syukur ke hadrat Allah, kerana dipanjangkan lagi usia saya dan diberi kesempatan untuk lebih mengenali selok belok dunia ini lagi. Sesungguhnya, Allah itu Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya dan Maha Bijaksana. Semoga dengan catatan sebuah perjalanan ini, dapat membuatkan saya menjadi seorang hamba-Nya yang soleh dan sentiasa bersyukur atas segala Rahmat-Nya. Segala Puji dan Syukur teristimewa buat-Nya.

Salam Ramadhan dan Salam Nuzul Al-Quran buat semua rakan-rakan saya di sini juga. Mari cuba mempertingkatkan amalan kita kerana sudah hampirnya waktu akhir di bulan Ramadhan ini. Semoga Allah menerima semua amalan-amalan kita di bulan ini. Insya-Allah.




~ Salam sebuah kasih dan sayang hanya kerana Allah buat semua sahabat dan rakan-rakan, daripada anakmanjoi. Jumaat, 27 Ogos 2010, jam 5.49 petang~

~ dan akhirnya saya lebih selesa menggunakan kata ganti nama 'saya' di dalam penulisan saya, dan akan cuba mempraktikkannya pula di dalam perbualan sehari-harian (ini juga telah dipraktikkan ketika di dalam wad tersebut, Insya-Allah) =)