Jumaat, 20 November 2009

betapa hebatnya pengaruh televisyen.`

ya, sememangnya susah untuk dinafikan, pengaruh televisyen terhadap hidup kita sehari-hari adalah amat kuat, tidak kiralah samada secara kita sedari ataupun tidak. teman sebenarnya tertarik untuk berbicara mengenai televisyen di sini, kerana sebenarnya teman baru sahaja selepas menonton drama 'Nur Kasih' arahan Khabir Bhatia, di TV3, bersama-sama ibunda teman.

teman amat tertarik dengan cerita ini, pertamanya kerana dari segi penggambaran yang di ambil, setiap adegan yang diambil adalah amat kreatif, keduanya pula, adalah kerana dari jalan cerita yang dibawa. mengambil unsur-unsur Islam, dan membuka mata-mata mereka yang kadangkala buta untuk mengenali Islam, akhirnya akan terbuka untuk lebih mendalami agama yang sememangnya setiap masa di pangkuan kita sehari-harian.

Alhamdulillah, sebenarnya teman mendengar banyak pengaruh yang positif daripada mereka-mereka yang menonton drama ini. teman akan tersenyum sendirian ketika menonton, pabila teringatkan akan beberapa sahabat teman yang sudah mengenali pemakaian tudung sesudah mengikuti drama ini.

dan ada juga yang lebih cuba untuk mendalami dan memahami agama yang kita anuti ini. sesungguhnya, drama ini sememangnya membawa pangaruh yang kuat di dalam hidup teman dan juga sahabat-sahabat teman. Alhamdulillah, semoga Allah akan terus memberikan dan mengurniakan Hidayah Nya kepada kami untuk selama-lamanya, Insya-Allah.

~ Di sini, teman ingin mengesyorkan buat sahabat-sahabat yang mengikuti blog teman ini, sebuahkisah yang sememangnya wajib untuk ditonton. Kisahkanlah cereka-cereka positif di dalam cerita ini di dalam hidup kita. Insya-Allah. =)



~ anakmanjoi ~ aku mencari, dan terus mencari, biarpun aku di dalam gelita, aku percaya, cahaya itu tetap akan menyuluh aku, biarpun di persimpangan jalan jua. =)

Khamis, 19 November 2009

buli dan berjenaka banyak bezanya!

teman tidak tahu siapa, atau ketahui apa tujuannya, tapi teman sememangnya amat tidak berpuas hati. walaupun ada salah seorang sahabat teman ini seolah-olah dirinya nampak lemah, seringkali tidak endah mengenai apa yang dilemparkan padanya, dan sering juga seolah-olah membiarkan dirinya diperbodohkan, tetapi, dia masih mempunyai maruah dirinya juga.

salah satu gambar sahabat teman ini, dikatakan telah diubahsuai oleh seseorang(dan teman tidak mengetahui siapakah orangnya..) dengan gaya yang mengaibkan dirinya. tetapi, teman mengetahui perkara ini terlalu lambat, dan teman hanya mengetahuinya hanya ketika teman menghabiskan kerja teman pada hari ini. dan , gambar itu juga telah dibuang oleh sahabat-sahabat teman yang lain, yang sememangnya mengetahui apa ertinya JENAKA, bukannya menjatuhkan MARUAH seseorang.

cubalah hormati sesama manusia, kita asyik bising, inginkan diri dihormati, INGINKAN DIRI DIHORMATI, tetapi diri sendiri tidak menghormati orang lain! fahamilah apa yang dimaksudkan dengan ayat ini, dan biarlah diri diselami dengan maksud kata-kata ini.

~ maaf, entri kali ini seolahnya teman sangat tidak berpuas hati, tapi, ini juga sebagai peringatan untuk diri teman juga. dan bagi sahabat-sahabat yang membaca ini juga, marilah sama-sama kita memperingati diri jua.

~anakmanjoi~ hati telah terlalu kosong untuk dipenuhi~

Sabtu, 14 November 2009

ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi

semalam, teman baru sahaja balik daripada pejabat, teman singgah le sebentar di gerai kuih-muih tepi jalan, teringin sangat nak makan 'burger Malaysia'.. heheh
waktu tu pula, ada lah sepasang anak beranak, si ibu dan anak lelakinya.

teman memandang pada mereka, wah, comel budak kecil ini. =)

kemudian, terkelu teman seketika, pabila budak kecil itu mula berkata-kata,

ayat yang terkeluar dari mulutnya semuanya tidak sedap untuk didengar di telinga, sambil itu, si anak itu turut mengomel mengenai air yang dijual di situ. wahh,..
tak habis dengan itu lagi, si ibu pun turut menyampuk, turut sama mengomel,..

wahh, bagaimana ajaran yang diberikan oleh si ibubapa ini untuk anak mereka? sememangnya, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

~ anakmanjoi ~ hmm, teman sebenarnya, semenjak daripada zaman persekolahan lagi amat risau, jika teman sendiri memiliki anak kecil, teman amat takut jika perangainya akan 'loqlaq', ohh,.... resahnya bila memikirkannya...

Khamis, 12 November 2009

gelora budayaku, ( selamat berjuang juga buat adik-adikku yang mengharungi SPM tahun ini)

kejutan budaya, satu perbincangan yang bagaikan tidak ada penghujungnya, kerana situasi ini selalu berlaku, pada setiap masa, dan di mana-mana selagi mana adanya seseorang manusia yang berhijrah ke satu-satu tempat/situasi/cara hidup yang baru, tidak kiralah samada kejutan itu akan membawa kepada perkara yang baik ataupun buruk.

teman tertarik untuk berbicara mengenai kejutan ini, kerana teman sendiri juga tidak dapat tidak untuk lari daripada terkena pada kejutan yang sememangnya akan mengumbang-ambingkan diri jika tiadanya persiapan diri ini.

kejutan budaya, boleh dikatakan, akan sentiasa berlaku di kota-kota, samada kota itu maju ataupun tidak, yang mana pabila seseorang hamba Tuhan yang kekampungan itu, penuh dengan adab dan sopannya, pabila menjejakkan kaki ke sebuah kota yang mana berubahnya cara pernafasannya, udaranya yang sememangnya tiada hentian bagi setiap arus yang mengalir, akan mula mengalir bersama, hanyut, tenggelam, di dalam satu dasar yang gelap, bagaikan tiada penghujungnya. biarpun kadangkala kaki itu bagaikan bergetar, tetap dibiarkan dirinya terus mengalir dan tenggelam.

tenggelam,..
dan terus tenggelam..

lupakah akan masa depan? ke mana hala tujunya? sanggupkah untuk sentiasa bergelap itu? tidak mahukah disuluhkan sedikit cahaya padanya?

kita sendiri yang sepatutnya memikirkan,
kenapa perlu untuk begini?

takut kita diketawakan pabila kita ini dilihat sebagai kekampungan? maaf, kadangkala mereka yang berada di bandar-bandar itu, cara hidup mereka itu lah identiti mereka, walaupun mereka sedari kecil lagi sebegitu, mereka tahu, yang mana satukah dikatakan hitam, yang mana satukah dikatakan sebagai putih. (sedangkan, mereka itu lebih berbangga jika membawakan identiti kekampungan itu sendiri)


*********

manusia-manusia kekampungan ini lah yang kadangkala merosakkan lagi hidup, dan budaya yang sedang dibina kala ini, pada mulanya hanya dicuba untuk menukar gaya yang selari dengan arus, tetapi, selepas selesa dengan segalanya, mereka mula pula mengikut segala kehendak nafsu dan syahwat dalam diri mereka, yang selama ini hanya terpendam, terkurung, yang dulu hanya bermandikan nasihat-nasihat dari orang-orang tuanya. bermula untuk menutupi diri dengan dugaan syaitan, syaitan itu pula mula mengurungi diri mereka.

sedarkah akan diri anda itu.
masa depanmu bukan hanya pada anak dan cucu-cicitmu,
tetapi selepas alam kehidupan ini,
jangan pula dilupakan alam perhitungan,

jangan tatkala kamu menangis, menyesali diri,
barulah kamu mengatakan pada dirimu, 'Oh Tuhan, Aku menyesal... aku menyesal dengan segala perbuatan ku ini, aku hanyut di dalam alam dunia mu itu, Oh Tuhan..'

Akalmu itu jangan diletak pada lututmu,
gunakanlah dengan sebaiknya,

tatkala diri sudah mulai matang, tiada siapa lagi untuk dipersalahkan. Menyalahkan Ibu Bapamu? Menyalahkan Guru-gurumu? Menyalahkan Masyarakat sekelilingmu? maaf... sedangkan akalmu itu telah mula dibina dan terbina tika memijaknya kakimu itu di bumi, tika itulah kamu mula diajar untuk mengenali dunia ini. Semuanya itu adalah dari dirimu, bukannya atas kehendak mereka-mereka yang berada di sekelilingmu.

Adik-adikku, percayailah, dunia ini bukannya sesuatu yang mudah untuk diharungi. tatkala kapalmu itu tidak kukuh, akan tenggelamlah kamu bersama-samanya, persiapkanlah dirimu untuk mengaharungi lautan yang bergelora ini, biarpun kamu seorang diri yang menahkhoda kapalmu itu, tika ada yakin dan percaya, bersama pegangan yang kuat di dalam dadamu itu, Insya-Allah, badai dan gelora yang menyekat perjalanmu itu juga yang akan mengalah pada mu suatu hari nanti.

~ selamat maju jaya buat semua adik-adikku yang akan mengharungi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Insya-Allah, segalanya akan berlalu dengan baik, selagi mana mempercayai akan diri, dan tidak dilupakan siapakah yang Maha Memberi dan Maha Mengetahui. =)

~ Anakmanjoi ~ teman juga kadangkala takut akan badai dan ombak yang mendampar pada diri ini, kerna diri teman tidak sesekeras batu di pantai, tetapi kadangkala hanya mengikut semula ombak itu ke lautan, bagaikan pasir-pasir yang ditarik sekeras-kerasnya itu.....

Isnin, 9 November 2009

fahamkah akan diri ini?

kita memandang, tetapi tidak melihat,
kita berkata-kata, tetapi tidak berfikir,
kita bertindak, tetapi tidak memahami.

tangan bergerak, hati tetap berdiri di belakang,
kaki melangkah, hati tertinggal di suatu sudut kesunyian,
sampai bila harus kita berkata tanpa memahami segalanya,
membuatkan diri seakan cerdik di dalam segala hal,
padahal hanyalah sampah di mata mereka yang memahami,
memperbodohkan diri, tanpa sedari diri hanyalah bahan gurauan,
berbangga akan diri 'ahh, mereka sebenarnya lah yang bodoh.'
tahukah apa maksudnya kata-kata itu?

melangkah dan terus melangkah,
tanpa memperdulikan segala nasihat yang diberi,
teguran daripada lembutnya lidah hingga ke kasarnya buku lima,
masih menebalkan otak yang tidak mahu menerima perubahan,
apakah ini yang dimaksudkan dengan mengatakan orang lain itu tidak memahami?

siapakah sebenarnya yang tidak memahami?
atau siapakah sebenarnya yang tidak merubah?
sampai bila hendak kemelut diri ini menyebulungi diri?

ego yang tidak pernah sudah,
sehinggakan bagai sebati dengan darahnya,
O, A, B atau OA
segalanya sama di dalam pemahaman diri,
kiranya tidak ingin berubah,
selagi itulah diri tidak berubah,

tidak sedar akan siapa diri ini?
cerminlah diri,
cermin bukanlah hanya sebuah sekeping kaca yang memantul,
tetapi cerminlah yang menunjukkan siapa diri ini,
samada dari segi dalaman ataupun luaran.

~ anakmanjoi~ diri memang suka memandang, tetapi bagaikan tidak suka untuk melihat. =)

Jumaat, 6 November 2009

solusi : panduan hidup bersyarat

Sebenarnya, teman teringin sangat ingin mempromosi sebuah majalah yang betul-betul amat dekat dengan hati teman sekarang ini, dan majalah ini bukanlah hanya berbicara kosong, tetapi sentiasa membuatkan teman memperingati diri di ketika sibuk dan lapang, Insya-Allah =)

di sini, teman mempromosikan sebuah majalah, " SOLUSI : panduan hidup bersyarat" di dalamnya banyak berbicara mengenai agama, dan pandangan-pandangan, di mana setiap perbincangan dan pandangan-pandangan yang diutarakan adalah amat mudah untuk difahami.



penulis-penulis di dalamnya juga bukanlah calang-calang orang yang menulis. Teman rasa bersyukur, kerna telah diperkenalkan majalah ini oleh salah seorang ibu saudara teman, yang mana lebih selesa untuk teman memanggilnya sebagai maksu, (terima kasih maksu =) ). walaupun agak lambat untuk teman mengenali buku ini, Insya-Allah, akan teman mencari semula segala keluaran yang sebelumnya sebagai koleksi dan rujukan teman.



~ Insya-Allah, buku ini akan menjadi sebuah koleksi yang betul-betul berharga, sebagai sebuah panduan hidup bersyarat, bagi semua yang ingin memahami cara hidup yang betul. =)

~ anakmanjoi~ "Orang yang berakhlak mulia akan dimuliakan orang. Orang lain sentiasa menghormati pendirian kita yang tegas. Akhlak yang mulia sepertinya sekuntum bunga. Baunya wangi dan semua orang suka menciumnya." -- Haji Muhammad Zakaria, Solusi isu13, ms 42-43. =)

Khamis, 5 November 2009

warna itu putih

teman telahpun menukarkan pemuka blog teman, dengan warna putih, yang berseri, dan suci, hehhe.,.. =) pada teman-teman, anda tidak silap memasuki blog ini, kerana ini sememangnya blog anakmanjoi, terima kasih

putih itu nampaknya seakan berseri, dan menenangkan hati ~ anakmanjoi~ =)