kejutan budaya, satu perbincangan yang bagaikan tidak ada penghujungnya, kerana situasi ini selalu berlaku, pada setiap masa, dan di mana-mana selagi mana adanya seseorang manusia yang berhijrah ke satu-satu tempat/situasi/cara hidup yang baru, tidak kiralah samada kejutan itu akan membawa kepada perkara yang baik ataupun buruk.
teman tertarik untuk berbicara mengenai kejutan ini, kerana teman sendiri juga tidak dapat tidak untuk lari daripada terkena pada kejutan yang sememangnya akan mengumbang-ambingkan diri jika tiadanya persiapan diri ini.
kejutan budaya, boleh dikatakan, akan sentiasa berlaku di kota-kota, samada kota itu maju ataupun tidak, yang mana pabila seseorang hamba Tuhan yang kekampungan itu, penuh dengan adab dan sopannya, pabila menjejakkan kaki ke sebuah kota yang mana berubahnya cara pernafasannya, udaranya yang sememangnya tiada hentian bagi setiap arus yang mengalir, akan mula mengalir bersama, hanyut, tenggelam, di dalam satu dasar yang gelap, bagaikan tiada penghujungnya. biarpun kadangkala kaki itu bagaikan bergetar, tetap dibiarkan dirinya terus mengalir dan tenggelam.
tenggelam,..
dan terus tenggelam..
lupakah akan masa depan? ke mana hala tujunya? sanggupkah untuk sentiasa bergelap itu? tidak mahukah disuluhkan sedikit cahaya padanya?
kita sendiri yang sepatutnya memikirkan,
kenapa perlu untuk begini?
takut kita diketawakan pabila kita ini dilihat sebagai kekampungan? maaf, kadangkala mereka yang berada di bandar-bandar itu, cara hidup mereka itu lah identiti mereka, walaupun mereka sedari kecil lagi sebegitu, mereka tahu, yang mana satukah dikatakan hitam, yang mana satukah dikatakan sebagai putih. (sedangkan, mereka itu lebih berbangga jika membawakan identiti kekampungan itu sendiri)
*********
manusia-manusia kekampungan ini lah yang kadangkala merosakkan lagi hidup, dan budaya yang sedang dibina kala ini, pada mulanya hanya dicuba untuk menukar gaya yang selari dengan arus, tetapi, selepas selesa dengan segalanya, mereka mula pula mengikut segala kehendak nafsu dan syahwat dalam diri mereka, yang selama ini hanya terpendam, terkurung, yang dulu hanya bermandikan nasihat-nasihat dari orang-orang tuanya. bermula untuk menutupi diri dengan dugaan syaitan, syaitan itu pula mula mengurungi diri mereka.
sedarkah akan diri anda itu.
masa depanmu bukan hanya pada anak dan cucu-cicitmu,
tetapi selepas alam kehidupan ini,
jangan pula dilupakan alam perhitungan,
jangan tatkala kamu menangis, menyesali diri,
barulah kamu mengatakan pada dirimu, 'Oh Tuhan, Aku menyesal... aku menyesal dengan segala perbuatan ku ini, aku hanyut di dalam alam dunia mu itu, Oh Tuhan..'
Akalmu itu jangan diletak pada lututmu,
gunakanlah dengan sebaiknya,
tatkala diri sudah mulai matang, tiada siapa lagi untuk dipersalahkan. Menyalahkan Ibu Bapamu? Menyalahkan Guru-gurumu? Menyalahkan Masyarakat sekelilingmu? maaf... sedangkan akalmu itu telah mula dibina dan terbina tika memijaknya kakimu itu di bumi, tika itulah kamu mula diajar untuk mengenali dunia ini. Semuanya itu adalah dari dirimu, bukannya atas kehendak mereka-mereka yang berada di sekelilingmu.
Adik-adikku, percayailah, dunia ini bukannya sesuatu yang mudah untuk diharungi. tatkala kapalmu itu tidak kukuh, akan tenggelamlah kamu bersama-samanya, persiapkanlah dirimu untuk mengaharungi lautan yang bergelora ini, biarpun kamu seorang diri yang menahkhoda kapalmu itu, tika ada yakin dan percaya, bersama pegangan yang kuat di dalam dadamu itu, Insya-Allah, badai dan gelora yang menyekat perjalanmu itu juga yang akan mengalah pada mu suatu hari nanti.
~ selamat maju jaya buat semua adik-adikku yang akan mengharungi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Insya-Allah, segalanya akan berlalu dengan baik, selagi mana mempercayai akan diri, dan tidak dilupakan siapakah yang Maha Memberi dan Maha Mengetahui. =)
~ Anakmanjoi ~ teman juga kadangkala takut akan badai dan ombak yang mendampar pada diri ini, kerna diri teman tidak sesekeras batu di pantai, tetapi kadangkala hanya mengikut semula ombak itu ke lautan, bagaikan pasir-pasir yang ditarik sekeras-kerasnya itu.....
Catatan Umrah Bersama TH Travel ( 26 Oktober - 6 November 2023 )
4 bulan yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan